Maksud Tatabahasa
Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang:
- Morfologi: kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan.
- Sintaksis: kajian tentang pembentukan ayat.
Morfologi
Morfologi
ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan
kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu
ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem
dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan
konsep.
Morfem
Morfem
ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak
boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka
kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.
Misalnya
"minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika
dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh
dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya,
perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
Morfem Bebas | Morfem terikat/imbuhan |
---|---|
Dapat berdiri sendiri, misalnya: minum, cuti, sekolah, periksa | Bentuk imbuhan, misalnya: mem, per, kan, ber |
Mempunyai maksud sendiri. | Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat. |
Morfem terikat/imbuhan
Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:
- Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
- Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"
- Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
- Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.
Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem
MORFEM --> PERKATAAN --> FRASA --> KLAUSA --> AYAT
Proses pembentukan kata
Dalam linguistik, pembentukan kata ialah proses pembentukan perkataan baru. Kata boleh dibentuk melalui tiga cara utama iaitu pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan seperti dalam gambarajah di bawah.
Golongan kata
Dalam
bahasa Melayu, terdapat dua kata kumpulan, iaitu kata isian dan kata
tugas. Kata isian ialah kumpulan kata yang terbuka dan sentiasa
berkembang. Kata tugas pula ialah kumpulan kata tertutup contohnya dan, itu, amat, walaupun dan sebagainya.
Sintaksis
Sintaksis
merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan
binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses
pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana
perkataan disusun dalam ayat.
Ayat
Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.
-
- Contoh:Ahmad sedang membuat kerja rumah.
Contoh
ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu (i) Ahmad sedang dan
bahagian (ii) membuat kerja rumah. Bahagian subjek dan predikat,
merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat bahasa Melayu.
Subjek dan prediket pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).
Frasa
Frasa
ialah satu binaan atau unsur ayat yang terdiri daripada
sekurang-kurangnya dua perkataan atau jika terdiri daripada satu
perkataan, ia berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau
lebih. Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat.
Seperti
yang diterangkan di atas, ada empat jenis frasa iaitu FN, FK, FA dan
FS. Menurut binaannya, frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu
frasa endosentrik dan frasa eksosentrik. Frasa endosentrik
ialah frasa yang mengandungi satu unsur inti. Unsur inti ini mewakili
seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini. FN,
FK dan FS ialah frasa endosentrik. Ini kerana kata nama, kata kerja,
dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu.
-
- Contohnya: sepasang mata biru (FN. Inti frasa ini ialah mata, jenis kata nama)
Manakala frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama yang tidak mempunyai unsur inti contohnya ke tandas dan di sekolah . Kewujudan sendi nama di bergantung pada sekolah dan ke kepada tandas. Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik kerana pusatnya bergantung pada suatu unsur luaran.
(Sumber: https://www.blogger.com)
No comments:
Post a Comment